7.0 Metodologi Kajian

Kajian penilaian keberkesanan laman web dijalankan dengan pendekatan eksperimen bersirikan masa dengan satu kumpulan pelajar dipilih bagi mengikuti ujian pra dan siri ujian pos. Persampelan bertujuan dibuat ke atas satu kumpulan pelajar aliran sains sosial di Universiti Teknologi Malaysia yang sedang mengambil subjek Sistem Ekonomi Islam. Hasil persampelan bertujuan ini, seramai 43 pelajar dilibatkan dalam kajian di mana tiada kumpulan kawalan digunakan memandangkan objektif kajian adalah bagi melihat keberkesanan laman web dibangunkan dari aspek ditentukan. Sebagai gambaran awalan tahap kemahiran komunikasi bertulis dan kerjasama berkumpulan pelajar, data dikutip dari forum atas talian, teks ruangan borak dan teks jurnal dari sistem pembelajaran elektronik sedia ada seterusnya dianalisis secara kuantitatif dan kualitatif. Kaedah ini telah digunakan oleh Jamaluddin Harun dan Zaidatun Tasir (2006) sebagai melihat strategi pembelajaran aktif menerusi alatan kolaboratif. Setelah itu, kumpulan pelajar yang sama akan mengikuti proses pembelajaran di luar waktu kuliah menggunakan laman web dibangunkan dengan pengkaji sendiri terlibat sebagai moderator membantu pelajar. Pelajar diberikan tempoh masa sebulan untuk menggunakan laman web dengan pengkaji akan mengambil data secara berkala setiap minggu bagi melihat peningkatan kemahiran komunikasi bertulis dan tahap kerjasama berkumpulan di kalangan pelajar. Bagi tujuan analisis data, kaedah repeated measure ANOVA digunakan dengan perbandingan kepada data yang diambil secara berkala serta perbandingan kepada data awalan sebelum penggunaan laman web.