4.0 Pembelajaran Koperatif

Pendekatan pembelajaran koperatif adalah suatu sistem pembelajaran yang boleh dianggap baru berbanding pengajaran konvensional (McConnell, 1994). Perkembangan industri serta pengaruh teknologi meningkatkan persaingan sumber manusia memperlihatkan kesan keperluan kepada tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi. Antara cara terbaik membantu meningkatkan kemahiran pada pelajar adalah melalui proses pengajaran dan pembelajaran di universiti. Pembelajaran koperatif menyediakan kaedah pembelajaran aktif iaitu melibatkan pembelajaran dengan proses interaksi berkumpulan. Ia sering diberi perhatian sama ada dari aspek penyelidikan atau amalan dalam pendidikan (Johnson et al., 2000). Sorotan pembacaan mendapati banyak implementasi dan kajian berkaitan pembelajaran koperatif dilaksanakan pada pelbagai bidang dan peringkat pengajian (Holt et al., 1991 ; Johnson dan Johnson, 1994 ; Felder, 2001).

Salah satu ciri ketara pembelajaran koperatif adalah pelajar bekerjasama dalam kumpulan bagi mencapai matlamat pembelajaran bersama. Setiap individu adalah saling bergantung bagi mencapai matlamat kumpulan di mana ia perlu di struktur dan di bimbing oleh guru (Johnson dan Johnson, 1994). Pelajar perlu bekerjasama bagi membolehkan mereka saling membantu (Johnson dan Johnson, 1999). Kerjasama berkumpulan tersebut memastikan pelajar aktif dalam pembelajaran di mana ia sukar dicapai sekiranya kaedah syarahan biasa digunakan (Palmer dan Streetman, 2003). Ini bertepatan dengan paradigma pengajaran kini iaitu pelajar adalah aktif membina pengetahuan, pembinaan nilai dan pembelajaran melalui interaksi sosial (Johnson et al. , 1991). Manakala proses interaksi berkumpulan boleh dipertingkatkan dengan sokongan teknologi seperti penggunaan sistem pengurusan pembelajaran menerusi laman web. Bukan itu sahaja, teknologi turut bertindak sebagai alatan kognitif sebagai mana wujud dalam ciri persekitaran pembelajaran konstruktivisme (Wan Salihin Abdullah dan Mohd Yusof Arshad, 1996).

Pembelajaran koperatif menyediakan kaedah bagaimana pembelajaran aktif boleh dilaksanakan menerusi proses pembelajaran berkumpulan. Lima elemen perlu ada pada pembelajaran koperatif ialah ; pergantungan positif, tanggungjawab individu, pertemuan bersemuka, kemahiran kolaborasi dan proses berkumpulan (Johnson dan Johnson, 1991).