3.0 Tujuan Kertas Kerja

Oleh itu, adalah wajar untuk melaksanakan proses pembelajaran menggunakan pendekatan pembelajaran koperatif di kalangan pelajar aliran sains sosial bagi membantu mereka meningkatkan kemahiran-kemahiran diperlukan terutama kemahiran komunikasi secara bertulis dan kerjasama berkumpulan. Kini dengan perkembangan dan pengaruh TMK dalam dunia pendidikan terutama peringkat universiti, aktiviti pembelajaran subjek bukan sahaja berlaku semasa kuliah, bahkan boleh dicapai pada bila-bila masa sebagai contoh menerusi sokongan aplikasi atas talian seperti sistem pengurusan pembelajaran (learning management system). Berdasarkan perbincangan, maka kertas kerja ini akan membincangkan reka bentuk dan perlaksanaan pembelajaran koperatif dengan lima elemen (Johnson dan Johnson, 1991 ; 1999) dalam persekitaran pembelajaran konstruktivisme (Jonassen, 1998) menerusi laman web menggunakan serta mengubahsuai (customize) sistem pengurusan pembelajaran berasaskan sumber terbuka oleh Dougiamas (2002) iaitu Moodle. Sistem pengurusan pembelajaran Moodle dipilih memandangkan ia banyak digunakan kini oleh institusi pendidikan (Baharuddin Aris, et al., 2006) serta ia telah sedia digunakan oleh Universiti Teknologi Malaysia. Proses pembangunan pembelajaran pada laman web mengambil kira ciri dan prinsip pembelajaran atas talian oleh Salmon (2002) bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran.