2.0 Perbincangan Masalah

Isu pengangguran ini boleh dilihat dari pelbagai perspektif ; faktor permintaan pekerjaan iaitu dari sektor industri itu sendiri dan juga faktor penawaran tenaga kerja iaitu persediaan graduan mengisi tempat di sektor pekerjaan. Adalah tidak wajar menyalahkan sektor industri sepenuhnya terhadap masalah pengangguran kerana ia adalah hak pihak industri dan majikan menentukan kriteria bagi bakal pekerja. Oleh itu adalah tanggungjawab graduan untuk memperlengkapkan diri dengan pengetahuan dan kemahiran sewajarnya sejak dari pengajian peringkat universiti lagi. Namun begitu, warga pendidik universiti perlu turut berperanan membantu pelajar (sebelum bergelar graduan) memperlengkapkan dan mempertingkatkan pengetahuan dan kemahiran diperlukan dalam sektor pekerjaan.

Menyoroti isu pengangguran di kalangan graduan tempatan, maka dua perkara yang seharusnya diberi perhatian iaitu ; pertama, majoriti dari graduan menganggur datang dari aliran sains sosial. Kajian oleh IPPTN (2004) mendapati sebahagian besar graduan menganggur datang dari jurusan seperti sains sosial, sastera, ekonomi dan perniagaan manakala hanya sebahagian kecil mereka datang dari aliran sains dan teknikal. Isu kedua dalam permasalahan pengangguran ialah kelemahan dari aspek penguasaan kemahiran di kalangan graduan itu sendiri. Faktor ini menyebabkan kesukaran untuk graduan bersaing bagi mendapatkan tempat di sektor pekerjaan. Menurut IPPTN (2004) antara kemahiran pekerjaan yang masih kurang di kalangan graduan ialah kemahiran komunikasi, berbahasa Inggeris dan penggunaan TMK. Manakala dari segi pecahan dalam kemahiran komunikasi itu sendiri, kemahiran komunikasi secara bertulis kurang diberi tumpuan terutama oleh graduan menganggur (IPPTN, 2004). Berkait rapat dengan kemahiran komunikasi ialah kemahiran kerjasama berkumpulan di mana ia amat diperlukan dalam setiap organisasi sektor pekerjaan.

Terdapat pelbagai cara boleh digunakan bagi membantu pelajar universiti mempertingkatkan kemahiran pekerjaan. Antara disarankan seperti mana hasil laporan kajian IPPTN (2004) dan Sham Sani (2005) ialah keperluan latihan industri, pakej latihan kemahiran, kursus Bahasa Inggeris, pengintegrasian TMK dalam kurikulum dan pengintegrasian komponen kemahiran dalam kurikulum. Namun bagi melaksanakan cadangan-cadangan tersebut, beberapa perkara perlu diambil kira memandangkan ia mungkin melibatkan banyak pihak seperti sektor industri dan pihak pentadbir universiti serta penggubalan kurikulum. Salah satu aktiviti yang dominan dengan pengajian di universiti ialah proses pengajaran dan pembelajaran subjek di bilik kuliah dengan penglibatan secara langsung oleh pelajar dan pensyarah. Ia secara tidak langsung boleh digunakan sebagai platform membantu meningkatkan kemahiran pekerjaan di kalangan pelajar tanpa melibatkan pihak luar serta penggubalan kurikulum. Hal Ini turut dicadangkan oleh Modul Pembangunan Kemahiran Insaniah (IPTM, 2006) iaitu pengintegrasian pembinaan kemahiran Insaniah dengan aktiviti pengajaran dan pembelajaran di bilik kuliah.

Sesuai dengan cadangan berkenaan, perkembangan teori dan kaedah pembelajaran boleh dijadikan panduan bagi meningkatkan keberkesanan pembelajaran sebagai mana dalam konteks memenuhi keperluan dunia pekerjaan (Smith, 2003) iaitu penekanan kepada kemahiran. Antara bentuk pembelajaran menepati konteks ini ialah konsep pembelajaran aktif di mana menurut Felder, (2001) pembelajaran aktif ialah pembelajaran yang bukan sekadar mendengar syarahan semata-mata.

Namun, bagi menetapkan persekitaran dan perlaksanaan pembelajaran aktif, teori pembelajaran boleh digunakan sebagai panduan keberkesanan pengajaran dan pembelajaran. Salah satu teori pembelajaran menepati maksud di sini ialah teori pembelajaran konstruktivisme di mana ia menyediakan ciri-ciri suasana pembelajaran aktif sekali gus menyokong penglibatan pelajar dalam proses pembelajaran (Bhavani Sridharan dan Kinshuk ; 2003).Jonassen (1998) telah membangunkan model yang menyediakan ciri-ciri persekitaran pembelajaran dalam konteks konstruktivisme. Persekitaran pembelajaran berkenaan perlu dilaksanakan berdasarkan kaedah tertentu bagi meningkatkan keberkesanannya. Salah satu kaedah pembelajaran menepati maksud pembelajaran aktif ialah pembelajaran koperatif di mana terdapat banyak kajian menunjukkan keberkesanan pelaksanaannya pada peringkat pengajian tinggi (Felder dan Brent, 1994). Pembelajaran koperatif juga dikenal pasti sebagai mampu membantu mempertingkatkan kemahiran-kemahiran tertentu di kalangan pelajar. Kajian-kajian oleh Johnson dan Johnson (1991, 1999), Christison (1990), Lazarowitz dan Karsenty (1990), Grineski (1996), Felder, Felder dan Dietz (1998), Carlan et al., (2005), Long (1988) dan Hill dan Hill (1990) menunjukkan pembelajaran koperatif memberi kesan positif dari aspek ;
 Interaksi dan kerjasama dalam berkumpulan
 Peningkatan dalam pencapaian akademik
 Proses pembelajaran yang lebih aktif
 Pembinaan pemikiran kritis dan penyelesaian masalah

Selari dengan isu dibincangkan iaitu kelemahan penguasaan kemahiran di kalangan sebahagian graduan, maka kaedah pembelajaran koperatif boleh digunakan bagi membantu pelajar mempertingkatkan kemahiran pada mereka menerusi aktiviti pembelajaran pada masa yang sama mempelajari subjek. Melihat kepada kecenderungan kemahiran di kalangan sebahagian besar graduan, terdapat kelemahan pada aspek kemahiran komunikasi secara bertulis walaupun ia banyak digunakan dalam komunikasi terutama menerusi TMK. Kemahiran komunikasi turut berkait rapat dengan kerjasama berkumpulan, oleh itu kemahiran kerjasama berkumpulan perlu diberi perhatian dalam peningkatan kemahiran di kalangan pelajar. Manakala dari satu sudut, peratusan terbesar dari graduan menganggur terdiri dari graduan aliran sains sosial yang mungkin disebabkan faktor kurangnya latihan kemahiran diterima semasa mengikuti pengajian di universiti

No comments: