1.0 Pengenalan

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) ada menyatakan usaha pendidikan negara adalah memperkembangkan potensi individu ke arah sumbangan kemajuan negara. Pendidikan terutamanya di peringkat universiti antara lain adalah menyediakan individu dengan pengetahuan dan kemahiran bagi memberikan sumbangan kepada kemajuan negara setelah menamatkan pengajian dengan kelayakan tertentu. Ini memberi isyarat kepada warga pendidik universiti bahawa para pelajar peringkat ini perlu dibimbing dan dipersiapkan dengan pengetahuan dan kemahiran secukupnya bagi menghadapi persaingan dan peluang pekerjaan selayaknya. Apatah kini perkembangan dan revolusi industri global begitu mempengaruhi permintaan kepada tenaga kerja berpengetahuan dan berkemahiran tinggi.

Kesan perkembangan global terhadap industri dan sektor pekerjaan memperlihatkan peningkatan permintaan tenaga kerja yang bukan sahaja berkelayakan dan berpengetahuan, namun penguasaan kemahiran pekerjaan dan penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi (TMK) turut dipertekankan. Peningkatan kepada permintaan tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran tinggi memberi kesan kepada peningkatan persaingan di kalangan graduan untuk mendapatkan tempat sewajarnya dalam sektor pekerjaan. Kesan persaingan merebut tempat pekerjaan sewajarnya ini mendatangkan permasalahan pengangguran di kalangan graduan. Menurut laman web Organisasi Buruh Antarabangsa (ILO, 2008) dan Laporan IPPTN (2004), pengangguran graduan merujuk kepada graduan yang tidak mendapat pekerjaan selayaknya setelah enam bulan memperolehi ijazah pengajian di universiti. Situasi ini adalah bersifat global di mana ia turut dialami oleh negara-negara maju apatah negara membangun seperti Malaysia. Merujuk kepada situasi pengangguran graduan di Malaysia, persaingan mendapatkan pekerjaan selayaknya adalah tinggi di mana graduan lulusan universiti tempatan turut bersaing dengan tenaga kerja graduan universiti luar negara serta tenaga kerja asing. Berdasarkan kajian IPTTN (2004), permintaan tenaga kerja (kekosongan pekerjaan) adalah seiringan dengan penawaran tenaga kerja namun keutamaan majikan adalah tenaga kerja yang berpengetahuan dan berkemahiran yang bukan sahaja berkait langsung dengan bidang kerja. Kajian oleh ACNielsen mendapati antara kemahiran yang menjadi keutamaan majikan dalam mencari calon pekerja ialah kreativiti, kebolehan semula jadi, komunikasi, penyelesaian masalah dan kerjasama berkumpulan (ACNielsen Report on Employer Satisfaction with Graduate Skills, 2000).